Ini adalah kutbah terakhir Nabi Muhammad S.A.W. disampaikan pada 9hb Zulhijah Tahun 10 Hijriyah di Lembah Uranah, Bukit Arafah.
Wahai manusia, dengarlah baik baik apa yang hendak aku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata kataku ini dan sampaikanlah ia pada orang orang yang tidak dapat hadir pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan dan Dia pasti akan membuat perhitungan diatas segala amalan kamu.
ALLAH telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa menyesatkan kamu dalam perkara perkara yang besar, maka berjaga jagalah kamu supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanlah wanita wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia.
Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh sungguh kata kataku ini, sembahlah ALLAH, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu.
Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh.
Ingatlah bahawa kamu akan mengadap ALLAH pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah jangan sekali kali terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilaikanlah dengan betul dan fahamilah kata -kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama lamanya. Itulah Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku.
Saksikanlah ya ALLAH, bahawasanya telah aku sampaikan risalah MU kepada hamba hamba Mu."
2 comments:
As if baginda (saw) tahu baginda akan pergi...
Khutbah yg complete. i wonder, ringkasnya baginda berkhutbah. Tak mcm sekarang, ngantuk nak mampus. Ntah ape2 dia cakap.
Thx!
yoshz,
thx too for ur comment
Post a Comment